LONDON, 8 Julai-Novak Djokovic memastikan kemaraannya ke suku akhir Wimbledon buat kali ke-16 selepas bangkit menundukkan pemain Australia, Alex De Minaur, dalam aksi empat set mendebarkan.
Pemain Serbia berusia 38 tahun itu memulakan permainan dengan hambar apabila tewas set pertama hanya dalam 31 minit.
Namun, beliau segera mengatur semula rentak permainan untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 1-6, 6-4, 6-4, 6-4 sekali gus meneruskan misi memburu gelaran Grand Slam ke-25 dalam kariernya.
Sementara itu, dalam kategori wanita, bintang muda Rusia, Mirra Andreeva, mencipta sejarah apabila mara ke suku akhir Wimbledon pertamanya selepas menewaskan pilihan ke-10 dari Amerika Syarikat, Emma Navarro, 6-2, 6-3.
Andreeva, 18, menjadi pemain paling muda mara ke suku akhir perseorangan wanita sejak Maria Sharapova melakukannya pada 2005. Beliau menampilkan servis kencang serta pukulan padu dari garisan belakang bagi menempah pertemuan dengan wakil Switzerland, Belinda Bencic, di pusingan seterusnya.
Menariknya, Andreeva menyamai pencapaian Sharapova pada usia yang sama iaitu 18 tahun dan 62 hari ketika kejohanan bermula.-REUTERS.