KUALA LUMPUR, 8 Julai-Beberapa muka baharu bakal disenaraikan dalam pasukan regu sepak takraw kebangsaan yang akan menggalas cabaran negara di kejohanan Piala Raja Thai di Hat Yai, Thailand dari 20 hingga 27 Julai ini.
Ketua jurulatih pasukan sepak takraw negara Ahmad Jais Baharun berkata pihaknya sudah menghantar senarai pemain berkenaan kepada pihak Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).
Senarai akhir dijangka dimuktamadkan selepas tamat Liga Sepak Takraw (STL) pada Ahad, dengan individu yang terpilih itu bakal menjalani latihan pusat pada Isnin ini.
“Secara peribadi pemain yang kita bawa kali ini merupakan beberapa pemain baharu yang kita bagi peluang untuk pamerkan prestasi sebenar mereka.
“Jadi, tiada rombakan besar pemain yang kita akan buat untuk kejohanan ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Pada edisi tahun lepas, Malaysia meraih masing-masing satu pingat emas, perak dan gangsa dalam acara berpasukan lelaki dan kuadran campuran.
Dalam pada itu, Ahmad Jais berkata kejohanan berkenaan akan digunakan oleh barisan kejurulatihan untuk menilai kemampuan dan prestasi sebenar pemain untuk dibawa ke Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.
Malah, beliau berkata kejohanan itu bakal menjadi medan mengintai kombinasi regu terbaik, terutamanya dalam menamatkan kemarau emas 34 tahun negara dalam acara regu berpasukan.-BERNAMA.