ALOR SETAR, 8 Julai-Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kini berada di fasa akhir persiapan menjelang sepak mula Liga A1 Semi-Pro musim 2025-2026, dengan penekanan kepada pembentukan taktikal dan keserasian antara para pemain.
KFA dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, skuad kendalian Victor Andrag mengadakan satu perlawanan persahabatan bersama GSA Perlis FC pada Isnin di Stadium Sultan Abdul Halim, sebagai sebahagian daripada program pemantapan pasukan.
Perlawanan itu berakhir dengan kemenangan 3-1 memihak Kedah, hasil gabungan pemain muda dan berpengalaman.
Menurut KFA, perlawanan itu bukan sekadar ujian prestasi, tetapi juga peluang mengenal pasti potensi barisan yang bakal diturunkan musim ini.
KFA turut mengambil peluang dalam perlawanan itu untuk menguji tiga pemain import dari Korea Selatan, Mesir dan Portugal yang kini menjalani sesi pemilihan bersama pasukan.
Kehadiran mereka dijangka memberi nilai tambah sekiranya berjaya diserap ke dalam skuad.
Tambah KFA, pasukan Kedah kali ini dibentuk dengan pendekatan seimbang merangkumi gabungan tenaga muda dari skuad Liga Super, Piala MFL B-23, Piala Presiden dan Belia, bersama pemain berpengalaman yang telah lama beraksi di peringkat tinggi.
KFA dijangka mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan sebelum mengumumkan senarai akhir skuad Liga A1 yang akan membuka tirai hujung bulan ini.