fb fb fb fb fb

Flick yakin Fermin Lopez kekal di Barca

Fermin Lopez/Foto AFP

BARCELONA, 31 Ogos - Ketua jurulatih Barcelona, Hansi Flick percaya pemain tengah muda, Fermin Lopez akan terus kekal di kelab itu meskipun dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea.

Media Sepanyol sebelum ini melaporkan pemain berusia 22 tahun itu sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan kelab tempat dia dibangunkan sebelum melakukan penampilan sulung pada musim 2023/24.

Bagaimanapun, Flick menegaskan Lopez adalah sebahagian penting daripada perancangan pasukan yang mahu mempertahankan kejuaraan La Liga selain memburu trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2015.

“Saya bercakap dengannya dan saya yakin Lopez akan kekal, tetapi akhirnya saya tidak tahu apa yang akan berlaku. Kita perlu tunggu… saya akan lebih gembira apabila jendela perpindahan ditutup,” katanya.

“Saya nyatakan pendapat saya, tetapi itu hanya antara saya dan dia. Kadang-kadang pemain ada fikiran lain kerana di sekeliling mereka ada orang lain yang turut mempengaruhi keputusan.

“Akhirnya ini adalah perniagaan besar, saya perlu fokus pada pasukan. Saya gembira Fermin masih bersama Barcelona. Dia sangat penting untuk kami, dia sudah buktikan musim lalu, dia mempunyai gaya permainan tersendiri yang boleh memberi banyak sumbangan kepada pasukan,” jelasnya pada sidang media.

Lopez yang menjaringkan lapan gol dalam 46 penampilan musim lalu membantu Barca meraih treble domestik.

Sementara itu, Barca menerima tamparan apabila pemain tengah Gavi terpaksa menarik diri daripada skuad menentang Rayo Vallecano pada aksi La Liga hujung minggu ini selepas mengalami masalah lutut.

Flick bagaimanapun optimis pemain Sepanyol itu dapat kembali beraksi menentang Valencia pertengahan September depan. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN