fb fb fb fb fb

Elba Merdeka Cup 2025 himpun lebih 90 pasukan muda

Nirubaan Jeganath

SHAH ALAM, 31 Ogos – Kejohanan Elba Merdeka Cup 2025 kembali dengan sambutan menggalakkan apabila menghimpunkan lebih 90 pasukan dari seluruh negara, melibatkan kategori bawah 8, bawah 10, bawah 11, bawah 12, bawah 13 dan bawah 15 tahun.

Edisi kedua kejohanan ini dianjurkan oleh Kuala Lumpur Youth Football dengan kerjasama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, selain penyertaan kelab serta akademi sekitar Lembah Klang.

Menurut pihak penganjur, kejohanan itu terbuka kepada semua pasukan termasuk pemain akademi dan kelab komuniti di seluruh Malaysia.

Pengurus Bersama Kejohanan, Nirubaan Jeganath berkata penganjuran kali ini memberi penekanan kepada penyediaan minit permainan kompetitif, sekali gus menjadi platform penting untuk pendedahan pemain muda.

“Scouting is an ongoing process. Semua jurulatih NFDP berada di padang, dan jika kita jumpa new talent, kita boleh serap masuk ke dalam Akademi Tunas ataupun NFDP,” katanya.

Beliau menjelaskan, kerjasama dengan NFDP membolehkan bakat baharu dikenal pasti seawal usia tujuh tahun, seterusnya melahirkan generasi pemain yang dibentuk mengikut DNA bola sepak negara sejak di peringkat akar umbi.

Selain itu, kejohanan ini turut menjadi medan penyatuan komuniti apabila melibatkan pemain, jurulatih dan ibu bapa daripada pelbagai latar belakang, di samping membantu mempromosikan kawasan penganjuran serta fasiliti padang tempatan.

Tambah Nirubaan, penganjuran edisi kali ini lebih tersusun dengan penambahbaikan dari aspek pengurusan termasuk penggunaan padang yang lebih baik, pertambahan jumlah pengadil serta kawalan masa perlawanan yang lebih lancar berbanding tahun sebelumnya.

Beliau turut memaklumkan, pihak penganjur bercadang memperluas kejohanan ke peringkat antarabangsa pada tahun hadapan dengan menjemput penyertaan pasukan dari Asia, ASEAN dan Eropah, sekali gus menjadikannya acara tahunan dalam kalendar Kuala Lumpur Youth Football Academy.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN