fb fb fb fb fb

Flamengo sahkan kejuaraan keempat Libertadores

Foto AFP

LIMA, 30 November - Flamengo muncul juara Copa Libertadores 2025 selepas menewaskan Palmeiras 1-0 dalam perlawanan akhir di Estadio Monumental, awal pagi tadi.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan pertahanan tengah, Danilo pada minit ke-67 menerusi tandukan hasil sepakan sudut Giorgian de Arrascaeta untuk memastikan kejuaraan keempat Flamengo dalam sejarah kejohanan berprestij Amerika Selatan itu.

Kemenangan tersebut menebus kekalahan mereka kepada lawan sama pada perlawanan akhir 2021, selain meletakkan Flamengo hanya tiga gelaran di belakang rekod tujuh kejuaraan milik Independiente dari Argentina.

Aksi pada perlawanan akhir itu turut menyaksikan 33 kekasaran dan tujuh kad kuning dilayangkan, dengan Palmeiras hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-89 namun percubaan Vitor Roque dari jarak dekat melambung tinggi.

Flamengo kini dalam landasan terbaik melengkapkan treble musim ini selepas merangkul Piala Super Brazil dan hanya memerlukan dua mata daripada baki saingan liga untuk mengesahkan kejuaraan domestik. -AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN