fb fb fb fb fb

Grand Prix Qatar: Piastri raih petak utama, buru gelaran dunia

Pemandu Australia pasukan McLaren, Oscar Piastri memandu ketika sesi kelayakan menjelang Grand Prix Formula Satu Qatar di Litar Antarabangsa Lusail/AFP

LUSAIL, 30 November - Oscar Piastri membangkitkan semula perebutan gelaran dunia Formula Satu selepas muncul terpantas pada sesi kelayakan Grand Prix Qatar, lewat malam tadi.

Pemandu Australia itu menewaskan rakan sepasukan yang juga pendahulu kejuaraan, Lando Norris, untuk meraih petak utama perlumbaan kedua terakhir musim ini.

Kemenangan dalam perlumbaan pecut sebelum itu turut merapatkan jurang Piastri kepada 22 mata di belakang Norris.

Max Verstappen dari Red Bull bakal memulakan saingan di petak ketiga, manakala George Russell (Mercedes) keempat.

Sesi kelayakan itu juga turut terganggu seketika berikutan insiden Carlos Sainz yang kehilangan plastik pembungkus pada tayar keretanya.

Apabila sesi bersambung, hanya satu pusingan pantas dibenarkan dan Norris terpaksa membatalkan percubaannya akibat masalah understeer.

Piastri memanfaatkan peluang tersebut sebaiknya dan bersorak gembira melalui radio pasukannya.

Pemandu yang bermula di petak utama sebelum ini telah memenangi kesemua tiga edisi Grand Prix Qatar setakat ini.

Lewis Hamilton pula terus mengharungi musim sukar apabila sekadar mencatat masa ke-18 pada sesi kelayakan pertama dan gagal mara, menjadikannya penyingkiran awal kelima berturut-turut dalam sesi kelayakan. -AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN