fb fb fb fb fb

FIH Piala Dunia Remaja : Skuad negara tamatkan cabaran dengan kemenangan dramatik

Kejayaan ini penutup positif buat Young Tigers / Foto FB Malaysian Hockey Confederation

CHENNAI, 10 Disember - Kejohanan FIH Piala Dunia Remaja Lelaki Tamil Nadu 2025 menyaksikan skuad Remaja Negara menamatkan cabaran dengan kemenangan dramatik apabila menewaskan Jepun 3-0 dalam penentuan shoot-out selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi penentuan tempat ke-13 dan 14.

Malaysia bermula garang dan membuka tirai jaringan pada minit ke-29 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Azimuddin Syakir Kamaruddin. 

Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Jepun meningkatkan tekanan pada suku keempat sebelum Shun Hara menyamakan kedudukan pada minit ke-53 hasil satu gol padang.

Keputusan 1-1 memaksa perlawanan ditentukan melalui shoot-out.

Di peringkat shoot-out, Young Tigers tampil jauh lebih tenang dan bertenaga.

Muhammad Danish Aiman, Muhammad Addy Jazmi dan Muhammad Adam Asyraf menyempurnakan ketiga-tiga percubaan mereka.

Manakala penjaga gol negara, Haziq Muizzuddin, cemerlang menafikan semua percubaan Jepun , sekali gus dinobatkan sebagai Player of the Match.

Kejayaan itu menjadi penutup positif buat Young Tigers selepas episod kurang memberangsangkan di peringkat Kumpulan E dan aksi penentuan klasifikasi sebelum ini.

FAUZIAH ABD RAHMAN