ISKANDAR PUTERI, 10 Disember - Johor Darul Ta'zim (JDT) gagal manfaat kelebihan beraksi di laman sendiri, apabila sekadar terikat tanpa jaringan dengan Shanghai Port FC, pada aksi Kumpulan A Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE), malam tadi.
Dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu, menyaksikan skuad Harimau Selatan bimbingan Xisco Munoz lebih mendominasi dengan serangan bertali arus ke gawang lawan, namun nasib tidak menyebelahi mereka.
Sepanjang lima minit pertama permainan, JDT menggasak kubu pasukan lawan dengan hampir memperoleh gol pertama menerusi percubaan Bergson Da Silva, namun rembatan berjaya diselamatkan penjaga gol, sebelum tendangan Jonathan Da Silva pula tersasar beberapa minit selepas itu.
Penjaga gol Shanghai Port, Chen Wei muncul watak penting dalam mematahkan asakan dan beberapa percubaan tepat tuan rumah, dengan menafikan deretan peluang direncanakan JDT.
Masuk separuh masa kedua, JDT masih gagal menterjemahkan sebarang jaringan, termasuk peluang keemasan Bergson Da Silva yang singgah ke palang gol pada minit ke-63, sementara percubaan Nacho Mendez minit ke-73, mengenai tiang gol.
Aksi penuh permainan menyaksikan 47 percubaan dijelmakan Harimau Selatan, dengan 11 percubaan tepat ke pintu gol lawan, namun keputusan 0-0 kekal sehingga wisel penamat permainan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz mengakui terkejut pasukannya gagal mencetak sebarang gol walaupun menampilkan aksi seratus peratus.
"Tidak dapat dipercaya kami tidak meraih tiga mata. Namun, kami bermain dengan baik dan mencipta peluang penting. Kadang-kadang, begitulah bola sepak. Saya tahu mereka bekerja keras, dan hari ini prestasi kami amat baik,"katanya
Ketua Jurulatih Shanghai Port FC, Kevin Muscat pula memuji anak buahnya yang menampilkan aksi terbaik walaupun berdepan isu kecederaan, keletihan, dan hukuman pemain.