fb fb fb fb fb

Salah dikritik penyokong susulan kenyataan tegang terhadap Liverpool

Foto hiasan/ REUTERS

MILAN, 10 Disember - Majoriti penyokong Liverpool yang hadir menyaksikan aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara UEFA menentang Inter Milan pada Selasa (9 Disember) meluahkan kekecewaan terhadap Mohamed Salah susulan kenyataannya yang mengkritik kelab itu baru-baru ini.

Salah sebelum ini berkata beliau "diketepikan" kelab selepas diletakkan di bangku simpanan ketika Liverpool seri 3-3 menentang Leeds United dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Sabtu lalu, dan memberi bayangan kemungkinan meninggalkan kelab.

Dalam kenyataan selepas perlawanan yang dianggap sengit, pemain Mesir berusia 33 tahun itu mengkritik kelab dan ketua jurulatih, Arne Slot, dengan mendakwa dirinya dijadikan sebagai kambing hitam atas prestasi buruk pasukan pada awal musim serta mengisyaratkan masa depannya di Anfield mungkin tidak lama.

Salah, yang menandatangani lanjutan kontrak dua tahun pada April lalu, menjadi figura ikonik sepanjang lapan tahun bersama Liverpool dengan memenangi dua kejuaraan Liga Perdana serta menjaringkan 250 gol dalam semua pertandingan.

Namun selepas permulaan musim yang kurang meyakinkan, beliau diletakkan di bangku simpanan dalam tiga perlawanan terakhir. Salah hanya bermain 45 minit secara keseluruhan. Komen kerasnya turut menyebabkan dia digugurkan sepenuhnya daripada skuad untuk aksi di Milan.

Musim lalu, Salah menjaringkan 34 gol dan mencipta 18 bantuan jaringan dalam 52 perlawanan ketika Liverpool muncul juara Liga Perdana. Tetapi dalam kempen semasa yang bergelora, beliau hanya mengumpul lima gol dan tiga bantuan jaringan dalam 19 perlawanan.

Sejak menyertai Liverpool dari AS Roma pada 2017, Salah telah menjadi penjaring ketiga terbanyak kelab itu di belakang Ian Rush dan Roger Hunt.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI