fb fb fb fb fb

FFP tangani isu gaji kelab bola sepak tanah air

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam/Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 3 Mei - Pelaksanaan "Financial Fair Play" (FFP) yang akan digunakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi musim ini akan tertumpu untuk menangani isu tunggakan gaji bagi kelab-kelab bola sepak tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam berkata sebelum ini, badan penganjur Liga Malaysia (Liga-M) itu hanya mengetahui masalah gaji pemain daripada laporan media tempatan tanpa mengetahui sumber.

Justeru katanya, pelaksanaan FFP bakal memastikan segala butiran mengenai pembayaran gaji akan dipantau MFL menerusi dokumentasi yang diminta kelab-kelab bola sepak tanah air.

“Kita ada isu asas iaitu pembayaran gaji (pemain), jadi FFP tahun pertama atas dasar itu, bukan hapus masalah terbabit secara keseluruhan tapi tangani dengan awal bila berlakunya perkara sebegini.

“Kita akan mengambil tindakan awal untuk meminta dokumentasi tertentu yang diminta daripada kelab pasukan untuk selaraskan penggunaan gaji dalam musim, ini fasa pertama FFP,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Isnin lepas, MFL menerusi kenyataan memaklumkan FFP akan dilaksanakan bagi menggantikan Program Kawalan Ekonomi pada 2020.

Menurut MFL, kajian mendalam telah dilakukan oleh Unit Pelesenan Kelab MFL bagi menyesuaikan FFP dengan ekosistem bola sepak tanah air serta merujuk FFP kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Sistem itu akan disesuaikan untuk keperluan Liga-M dan sudah dipersetujui oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL menerusi mesyuarat yang diadakan pada 6 Mac 2024.

Sementara itu, mengulas mengenai teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR), Stuart berkata ketepatan keputusan lebih menjadi keutamaan sistem itu berbanding kecepatan.

"Saya harap peminat akan faham, dalam beberapa minggu pengadil akan mengambil masa lebih panjang daripada biasa. Kita tidak pernah ada VAR di Malaysia

"Tetapi, orang bandingkan VAR yang ada di negara lain yang sudah dua, tiga tahun ada VAR, di Malaysia pengadil perlu mengambil masa membuat keputusan yang tepat," katanya.

Semalam, FAM memaklumkan VAR bagi saingan Liga-M musim 2024/2025 sudah mendapat pengiktirafan dan kelulusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) secara rasmi pada Isnin lepas.

Perkembangan itu disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk S. Sivasundaram sambil menyifatkan ia merupakan satu kebanggaan kepada Malaysia kerana muncul antara 68 negara mendapat pengiktirafan dan kelulusan FIFA untuk menggunakan VAR.

Sebanyak enam perlawanan percubaan baru-baru ini telah dijalankan oleh FAM dan MFL selaku badan pentadbir Liga-M, bagi melihat tahap kemahiran pengadil dan keberkesanan teknologi VAR. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN