fb fb fb fb fb

Al Ahli mara ke suku akhir Piala Raja Saudi tundukkan Al Batin 3-0

FOTO X Al-Ahli Saudi Club

RIYADH, 28 Oktober - Al Ahli berjaya melangkah ke suku akhir Piala Raja Saudi selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas tuan rumah Al Batin dalam aksi pusingan 16 pada Isnin.

Juara lapan kali itu, yang terakhir kali menjuarai pada 2016, menunjukkan taringnya kembali.

Perlawanan di Stadium Kelab Al-Batin, menyaksikan skuad tuan rumah hanya menguasai 36.9 peratus permainan, manakala Al Ahli mendominasi dengan 63.1 peratus penguasaan bola sepanjang aksi.

Al Batin juga hanya mampu melakukan dua cubaan tepat ke arah gol, manakala Al Ahli melepaskan lapan cubaan tepat sepanjang 90 minit.

Gol pembukaan muncul pada minit ke-22 apabila pemain Al Batin, Turki Al Jalfan, tersilap menanduk bola ke dalam gawang sendiri memberi kelebihan awal buat Al Ahli.

Babak kedua menyaksikan dua gol selesa dihasilkan masing-masing oleh Firas Al‑Brikan pada minit ke-50 dan kemudian oleh Ivan Toney pada minit ke-66 sekali gus menutup kemenangan tanpa balas bagi pihak pelawat.

Menerusi kemenangan itu, Al Ahli bukan sahaja memastikan slot ke suku akhir, tetapi juga menghantar isyarat jelas bahawa mereka masih menjadi kuasa besar dalam kejohanan berkenaan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE