KUALA LUMPUR, 7 Mei- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memastikan kawalan keselamatan terhadap barisan pemain kebangsaan dipertingkat sepanjang tugasan rasmi bersama skuad Harimau Malaya.
Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata kawalan keselamatan itu merangkumi ketika kem latihan pusat dan perjalanan sewaktu hari perlawanan di dalam mahupun luar negara.
Usaha itu sebagai langkah memastikan keselamatan para pemain berada pada tahap optimum berikutan serangan jenayah melibatkan dua pemain kebangsaan, Akhyar Rashid dan Faisal Halim.
Keselamatan pemain dipertingkat dengan kerjasama pihak polis termasuk ketika kem latihan pusat berlangsung selain jumlah anggota bertugas juga mungkin perlu ditambah.
Menurutnya, Faisal Halim bakal terlepas baki dua perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan, pada awal Jun ini.
Mengenai insiden yang melanda dua pemain kebangsaan itu, Datuk Hamidin enggan membuat sebarang spekulasi termasuk kemungkinan terdapat unsur penglibatan sindiket mengatur perlawanan.
Dalam pada itu, Datuk Hamidin memberi bayangan untuk terus menerajui badan induk itu.
Jelasnya, masih terdapat misi yang perlu diselesaikan di bawah kepimpinannya.
Antara perkara yang masih menjadi tumpuan projek pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) dan Wisma FAM yang baharu, masing-masing di Putrajaya.
Beliau juga mahu melihat skuad Harimau Malaya mencipta sejarah dengan mara ke pusingan ketiga kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 buat julung kali dalam tempoh terdekat.
Keputusannya untuk terus memimpin FAM juga bergantung kepada permintaan ahli gabungan badan induk itu.
Datuk Hamidin dilantik sebagai presiden FAM bermula penggal 2018-2021 dan mengekalkan jawatan tanpa dicabar bagi penggal 2021-2025.
Kongres Pemilihan FAM bagi penggal 2025-2029 dijadual berlangsung tahun depan.