KUALA LUMPUR, 7 Mei– Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan liputan secara langsung Liga Malaysia (Liga M) 2024/25, bermula 10 Mei ini.
RTM akan menyiarkan keseluruhan 61 perlawanan melibatkan 52 perlawanan Liga Super termasuk Perlawanan Sumbangsih (Piala Sultan Haji Ahmad Shah), lapan perlawanan Piala FA dan perlawanan akhir Piala Malaysia.
Peminat bola sepak boleh menonton perlawanan berkenaan menerusi saluran TV Okey dan Sukan RTM serta RTMKlik.
"Pendekatan teknologi terkini dan kecerdasan buatan seperti 'Augmented Reality' (AR) bakal digunakan sebagai pendekatan persembahan terbaharu khas sajian istimewa kepada penonton setia RTM.
"Demi merancakkan siaran, RTM membariskan pengulas-pengulas sukan yang berwibawa dan panel undangan terpilih yang sangat berpengalaman serta pakar dalam bidang sukan bola sepak tanah air," menurut kenyataan RTM.
Sepanjang musim 2024/25, Malaysia Football League (MFL) mengguna pakai teknologi 'Video Assistant Referee' (VAR) bagi kesemua perlawanan melibatkan 13 pasukan bersaing.
Pasukan itu ialah Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC, Sabah FC, Negeri Sembilan FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman FC, Penang FC, Kelantan Darul Naim FC, Kuching City FC, PDRM FC dan Perak FC.