(Pestabola Merdeka)
KUALA LUMPUR, 5 Ogos- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperkenalkan tawaran menarik iaitu tiket kombo RM70 bagi kejohanan Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, pada 13 hingga 17 Oktober ini.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, tiket komba berkenaan ditawarkan bagi kategori terbuka.
Sementara itu, tiket untuk setiap hari perlawanan berharga RM40 bagi dewasa dan kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun (RM5) bagi kategori terbuka, manakala kategori grandstand (RM60) dan kategori premium (RM80).
"Tiket kategori terbuka pada harga normal serta tiket kategori grandstand dan premium akan dijual bermula 6 September ini.
"Tiket kombo RM70 pula dijual dalam tempoh terhad bermula 9 Ogos hingga 5 September ini.
"Orang ramai boleh membeli tiket kejohonan tersebut menerusi laman sesawang, www.tickethotline.com.my," katanya menerusi kenyataan.
Noor Azman berkata, Pestabola Merdeka 2023 Edisi Ke-42 itu disertai empat pasukan dengan format kalah mati.
(Noor Azman Rahman)