fb fb fb fb fb

'Art Rahim': Figura sukan RTM ditidurkan

Pengulas sukan RTM, Fuad Rahim atau lebih dikenali sebagai 'Art Rahim' / Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 27 Julai - Pengulas sukan RTM, Fuad Rahim atau lebih dikenali sebagai 'Art Rahim' kini sedang ditidurkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini sejak 24 Julai lalu akibat masalah paru-paru berair dan komplikasi jantung.

Menurut anak beliau, Faidth Fuad, bapanya dimasukkan ke hospital pada 9 Julai lalu selepas mengadu sakit dada dan sesak nafas sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Jantung (CCU) untuk pemantauan lanjut.

Tambahnya lagi, selepas lapan hari menerima rawatan, Fuad sekali lagi dimasukkan ke HSA sebelum ditidurkan pada Khamis baru-baru ini.

"Sekitar pukul 4.30 pagi, selepas didiagnosis di Zon Kritikal, doktor mengesahkan paru-parunya masih berair. Pada 9 Julai lalu, beliau turut mengalami jangkitan kuman serta masalah paru-paru berair, manakala jantungnya didapati lemah sedikit.

Kali kedua dimasukkan ke hospital, keadaannya masih sama, paru-paru masih berair dan fungsi jantung belum pulih sepenuhnya.

Pada Khamis, 24 Julai kira-kira pukul 4.45 petang, beliau ditidurkan untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui RTM.

Art Rahim, 58, merupakan antara nama besar dalam dunia penyiaran sukan negara sering terlibat dalam liputan pelbagai kejohanan termasuk Sukan SEA di Vietnam dan Kejohanan Hoki Piala Sultan Ibrahim.

Beliau dikenali dalam kalangan peminat sukan sebagai seorang pengulas berpengalaman luas dengan pengetahuan mendalam dalam pelbagai sukan termasuk memanah, boling padang, bola sepak dan hoki.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE