BOCHUM, 27 Julai - Kuartet 4x100 (m) lelaki negara berjaya ke pusingan akhir Sukan Universiti Dunia Rhine-Rhur 2025 selepas mencatat larian cemerlang di Lohrheidestadion, awal pagi tadi waktu Malaysia.
Pada saingan pusingan pertama, kuartet negara yang dibarisi Muhammad Azeem Mohd Fahmi, Pengiran Aidil Auf Hajam, Mohammad Thaqif Mohammad Hisham dan Aliff Iman Mohd Fahimi menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan 39.83 saat (s), di belakang Afrika Selatan (38.85s) dan India (39.12s).
Catatan 39.83s itu merupakan rekod terbaik musim ini buat pasukan kebangsaan sekali gus menghampiri rekod kebangsaan 39.09s yang direkodkan pada 2022.
Selain Afrika Selatan, India dan Malaysia, empat lagi pasukan yang melengkapkan senarai finalis acara 4x100m lelaki ialah Jerman, Poland, Turkiye dan Thailand.
Dalam acara lain, atlet lompat kijang wanita negara, Nurul Ashikin Abas turut melangkah ke pusingan akhir setelah mencatat lompatan sejauh 12.98 meter, yang juga rekod terbaik peribadinya musim ini dalam aksi kelayakan Kumpulan B.
Sementara itu, kuartet 4x400m wanita negara yang terdiri daripada Mandy Goh Li, Nurul Aliah Maisarah Nor Azmi, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas dan Hizzillawanty turut mengesahkan tempat ke final selepas menamatkan saringan kedua di kedudukan keempat dengan catatan terbaik musim ini iaitu 3 minit 55.21 saat.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi pelari 800m lelaki negara, Wan Muhammad Fazri Wan Zahari apabila sekadar menamatkan saingan di tempat keenam dalam separuh akhir pertama dengan catatan masa 1:49.87 saat.
Turut terkandas, atlet baling tukul besi negara, Grace Wong Xiu Mei yang gagal melepasi pusingan kelayakan. - BERNAMA