KUALA LUMPUR, 27 Julai - Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan atlet dan pegawai di Sukan SEA 2025, Thailand susulan ketegangan hubungan antara negara itu dengan Kemboja.
Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata meskipun situasi itu mencetuskan kebimbangan, pihaknya masih optimis bahawa jalan penyelesaian konflik berkenaan dapat dicapai sebelum temasya dwitahunan itu berlangsung Disember ini.
“Setakat ini belum ada keputusan daripada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dan apa yang kita perlukan ialah untuk bertenang kerana kita pun tahu bahawa Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berusaha membantu menyelesaikan krisis ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir menyaksikan Piala Perdana Menteri CSI1 yang juga kejohanan kelayakan atlet ekuestrian untuk ke Sukan SEA 2025.
Tan Sri Mohamad Norza berkata persiapan kontinjen membabitkan kesemua jenis sukan juga berjalan seperti biasa dengan proses pemilihan atlet kini giat dijalankan menjelang temasya itu.
“Saya telah berhubung dengan persatuan sukan dan harap bahawa perkara ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin supaya semua dapat terus menumpukan persediaan ke Sukan SEA,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan bahawa tentera Thailand dan Kemboja bertempur pada Khamis lepas di kawasan pertikaian sempadan bersama, dengan kedua-dua pihak saling menuding jari mengenai pihak yang dianggap sebagai pencetus konfrontasi terbaharu itu. - BERNAMA