fb fb fb fb fb

ISTAF tubuh Jawatankuasa Teknikal Khas perhalusi isu servis ‘terbang’

16 negara bakal diundang sertai Piala Dunia ISTAF 2026 pada Mei 2026 di Arena Axiata / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Julai - Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) mengambil pendekatan berhati-hati dalam isu pemansuhan kesalahan servis ‘terbang’ apabila memutuskan untuk menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Khas bagi memperhalusi cadangan pindaan terhadap peraturan permainan berkenaan.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat Majlis ISTAF yang berlangsung di Hatyai, Songkhla semalam susulan pelbagai saranan dan maklum balas yang diterima daripada negara-negara ahli berhubung Fasal 11.1.4 Undang-Undang Permainan Sepaktakraw.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan bersama oleh Timbalan Setiausaha Agung ISTAF, Taufiq Halim dan Bendahari ISTAF, Prof Chalerm Chaiwatcharaporn.

“Keputusan penubuhan jawatankuasa ini dibuat setelah mengambil kira pandangan bernas daripada Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan serta Penolong Setiausaha Agung ISTAF dari India Yogender Singh Dahiya.

“Segala hasil dapatan jawatankuasa ini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pengadil ISTAF sebelum dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif (Exco) untuk sokongan dan kelulusan terakhir bagi sebarang pindaan dikuatkuasakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Servis ‘terbang’ merujuk kepada situasi apabila tekong melonjak atau mengangkat kedua-dua kaki semasa melakukan servis dari dalam bulatan tengah gelanggang.

Sementara itu, Abdul Halim memberi jaminan ISTAF tidak akan sesekali memansuhkan bulatan tengah dalam gelanggang berukuran 13.4 meter x 6.1 meter yang menjadi sebahagian daripada identiti permainan sejak temasya Sukan SEAP 1965 di Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memberi bayangan sebanyak 16 negara bakal diundang menyertai Piala Dunia ISTAF 2026 (kategori lelaki dan wanita) yang dijadualkan berlangsung pada Mei 2026 di Arena Axiata, Kuala Lumpur.

“Pembahagian kepada Divisyen Perdana dan Divisyen Satu masih dalam pertimbangan. Pihak tuan rumah, PSM diberi mandat penuh untuk meneliti dan memutuskan butiran teknikal termasuk bilangan acara yang akan dipertandingkan,” katanya. - BERNAMA

HASRON BIN HASSAN