fb fb fb fb fb

Akuatik Dunia: Penerjun negara gagal kutip pingat acara seirama

Lee Yiat Qing terpaksa berpuas hati di tempat ke-11 / Foto BERNAMA

SINGAPURA, 27 Julai - Penerjun negara Elvis Priestly Clement dan Lee Yiat Qing terpaksa berpuas hati di tempat ke-11 pada aksi final 10 meter seirama campuran Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Pusat Akuatik OCBC, Singapura hari ini.

Pasangan yang membuat penampilan pertama pada kejohanan dunia dalam acara 3m dan 10m berpasukan campuran semalam, mempamerkan aksi yang membanggakan dalam lima terjunan, namun hanya mampu mengatasi satu daripada 12 pasangan yang bertanding, dengan kutipan mata keseluruhan 247.86.

Pingat emas dimenangi pasangan China Zhu Yongxin dan Xie Peiling dengan 323.04 mata, manakala pingat perak dimenangi pasangan Korea Utara Choe Wi Hyon dan Jo Jin Mi dengan 322.98 mata.

Aleksandr Bondar dan Anna Konanykhina dari Rusia, yang bertanding sebagai atlet neutral meraih tempat ketiga dengan 311.88 mata.

Sementara itu, dua lagi pendatang baharu kejohanan dunia Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim dan Yong Rui Jie gagal mara ke aksi akhir 1m papan anjal lelaki selepas terkeluar daripada kelompok 12 terbaik pada pusingan kelayakan.

Rui Jie menamatkan saingan di tempat ke-41, manakala Nazmi yang memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Terjun Remaja Dunia 2024 berada di tempat ke-44 daripada 59 penerjun.

Terdahulu, perenang negara Khiew Hoe Yean gagal mara ke final acara 400m gaya bebas lelaki selepas menamatkan saingan saringan di tempat ke-28 di Arena Kejohanan Akuatik Dunia.

Pemenang dua pingat emas Sukan SEA itu mencatat masa 3 minit 51.11 saat untuk menduduki tempat kesembilan dalam saringan tiga dan dijadualkan menyertai acara 100m, 200m dan 800m gaya bebas lelaki selepas ini.

Sementara itu, Andrew Goh Zheng Yen tidak dapat memulakan acara 100m kuak dada lelaki hari ini kerana masalah kesihatan.

Ketua jurulatih skuad renang negara Eric Anderson ketika dihubungi berkata Andrew kini sedang berehat serta menjalani pemulihan di hotel dan berharap beliau akan pulih untuk menyertai acara saringan 50m kuak dada lelaki yang dijadualkan pada Selasa ini.

Anderson turut memaklumkan seorang lagi perenang negara Bryan Leong Xin Ren terpaksa menarik diri daripada kejohanan ini kerana komitmen kerja di United Kingdom.

Beliau sepatutnya mengambil bahagian dalam acara 50m dan 100m kuak kupu-kupu lelaki.

Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura yang berlangsung dari 11 Julai hingga 3 Ogos ini menghimpunkan pelbagai disiplin termasuk polo air, terjun, terjun tinggi, renang, renang artistik dan renang perairan terbuka. - BERNAMA

HASRON BIN HASSAN