KUALA LUMPUR, 27 Julai - Atlet boling muda negara Qurratu’Ain Izdihar Mohd Pozi mencipta kejutan apabila menewaskan wakil China, Li Yiru dengan kelebihan hanya satu jatuhan pin untuk menghadiahkan pingat emas buat Malaysia dalam acara individu wanita pada Kejohanan Boling Remaja Asia ke-24 di Doha, Qatar hari ini.
Qurratu’Ain, yang mempamerkan aksi tenang dan konsisten sepanjang enam permainan, mencatatkan jumlah keseluruhan 1,239 jatuhan pin – satu mata mengatasi Li yang mengumpul 1,238 pin.
Pingat gangsa dimenangi pemain Taiwan, Ho Yi Qing yang meraih 1,205 pin.
Dua lagi wakil negara turut menunjukkan persembahan membanggakan apabila Adelia Nur Syazalee menamatkan saingan di tempat keempat dengan 1,197 pin, manakala Balqis Nurdhini Khairul berada di kedudukan kelima dengan 1,190 pin. - BERNAMA