IPOH, 27 Julai - Bekas pemain dan jurulatih berpengalaman, Syamsul Saad kembali mengemudi pasukan Perak FA selepas diumumkan sebagai Ketua Jurulatih baharu bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro 2025/2026 dan temasya SUKMA yang akan berlangsung di Perak.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Azhar Jamaluddin menyifatkan beliau sebagai individu paling layak untuk membawa semula kegemilangan pasukan berstatus lagenda itu.
"Kami berbesar hati menyambut kehadiran semula beliau ke pangkuan PAFA dan percaya dengan pengalaman luasnya sebagai pemain serta jurulatih, pasukan mampu mencipta kejayaan lebih besar," katanya menerusi Facebook Perak FA pada Sabtu.
Syamsul Saad pernah menyarung jersi pasukan itu sebagai pemain dan memulakan karier kejurulatihannya sebagai Penolong Ketua Jurulatih Perak FA dalam Liga Super pada musim 2012-2013.
Beliau kemudian mengetuai skuad Piala Presiden dan pasukan SUKMA Perak bermula 2014 hingga 2016 sebelum dilantik sebagai Ketua Jurulatih Perak FA pada tahun 2017.
Jurulatih yang berusia 48 tahun itu turut pernah mengendalikan Perlis FA dalam Liga Premier (2018)dan skuad Piala Presiden Perak (2019-2020) selain Pengarah Teknikal Perak FA (2021), serta membimbang Perak FC II (2022) dan Kelantan United FC (2023).
Antara kejayaan manis yang pernah diraih 'Coach Choi' ialah menjulang Piala Belia (2012), Piala Presiden (2014) dan membawa pulang pingat emas untuk Perak dalam SUKMA 2014 yang berlangsung di Perlis.