fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Thailand jamin, konflik tidak jejas acara Muay Thai di Songkhla

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Julai - Thailand selaku penganjur Sukan SEA 2025 memberi jaminan tahap keselamatan akan dipertingkatkan bagi memastikan kelangsungan acara Muay Thai di Songkhla iaitu di selatan negara itu berjalan lancar meskipun berdepan konflik politik dengan Kemboja.

Presiden Persatuan Muaythai Malaysia, Datuk Muhammad Shahnaz Azmi berkata, pihaknya menerima jaminan itu dalam mesyuarat bersama Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) baru-baru ini, dengan Kemboja dimaklumkan akan menghantar pasukan penuh ke temasya dwitahunan itu pada Disember ini.

Muhammad Shahnaz berkata LOC turut mengingatkan semua delegasi supaya mengelakkan sebarang bentuk isyarat politik sepanjang kejohanan berlangsung termasuk laungan atau simbol yang boleh membangkitkan ketegangan antara negara.

“Kita punya pendirian memang kita jangan masukkan politik antara sukan ni. Politik antara negara dengan sukan kita bezakan. Setakat yang dimaklumkan, Kemboja akan datang dengan pasukan penuh dan Thailand pun tidak ada masalah untuk membenarkan Kemboja untuk datang.

“LOC sudah ingatkan jangan Thailand laung, jangan Kemboja laung pasal tu. Sukan ialah sukan. Jadi, kedua-dua pengurus pasukan dan jurulatih bersetujulah dan memang tak ada masalah. Cuma kita memang risau kalau ada konflik-konflik macam tu berlakulah. Dia mengganggu sukan tapi setakat ni tidak adalah,” katanya kepada pemberita.

Muhammad Shahnaz turut memaklumkan satu lawatan teknikal ke lokasi pertandingan telah diadakan minggu lepas di Songkhla, yang akan menjadi lokasi rasmi acara Muay Thai.

“Kita dah pergi tengok lokasi, dia tunjukkan keselamatan, tempat keselamatan, memastikan orang ramai selamat di situ. Jadi, benda-benda itu telah dibincangkan,” katanya.

Dari segi teknikal, beliau berkata Muay Thai dianggap antara sukan tempur paling ‘jelas dan mudah’ dari segi pemarkahan dan kontroversi berbanding disiplin lain.

“Dari segi kontroversi, saya rasa Muay Thai sangat jujur dan mudah. Sebab dari segi pemarkahan dan sebagainya, dia sangat jelas lah. Dia subjektif tapi tak subjektif sangat. Jadi, dalam erti kata itu, kita okey, berbanding sukan tempur lain,” katanya. - BERNAMA

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE