fb fb fb fb fb

Aksi persahabatan: AC Milan tewaskan Liverpool

Foto REUTERS

HONG KONG, 26 Julai – Kelab Itali, AC Milan mencatat kemenangan 4-2 ke atas Liverpool dalam aksi persahabatan pramusim yang berlangsung di Hong Kong pada Sabtu.

Perlawanan berkenaan menyaksikan pemain termahal Liverpool, Florian Wirtz, membuat penampilan sulung dalam kesebelasan utama.

Perlawanan dimulakan dengan penghormatan kepada mendiang Diogo Jota dan adinya, Andre Silva, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol awal bulan ini.

Bekas pengurus Liverpool, Kenny Dalglish, meletakkan kalungan bunga sebelum sepak mula, manakala pemain kedua-dua pasukan mengenakan jersi tertera nama "Diogo J 20".

Milan membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Rafael Leao hasil umpanan Christian Pulisic, sebelum Dominik Szoboszlai menyamakan kedudukan 20 minit kemudian menerusi rembatan lencong selepas menerima hantaran Rio Ngumoha.

Leao terus mencuri tumpuan apabila melakukan serangan balas yang menghasilkan gol kedua Milan, apabila beliau menewaskan Conor Bradley di sayap kiri sebelum melakukan hantaran kepada Ruben Loftus-Cheek untuk gol minit ke-48.

Noah Okafor menambah gol ketiga Milan pada minit ke-60, manakala Cody Gakpo menjaringkan gol saguhati Liverpool pada masa tambahan.

Namun, salah faham antara Kostas Tsimikas dan penjaga gol baharu, Giorgi Mamardashvili, membolehkan Okafor menjaringkan gol kedua peribadi dan menoktahkan keputusan 4-2.

Mamardashvili, yang menggantikan Alisson Becker pada separuh masa kedua, melakukan penampilan pertama bersama Liverpool.

Milan turut menyenaraikan pemain baharu mereka, Pervis Estupinan yang dibawa masuk dari Brighton & Hove Albion.

Wirtz dan Ngumoha menyerlah untuk Liverpool di babak pertama, manakala Jeremie Frimpong mencuri perhatian di separuh masa kedua.

Namun secara keseluruhan, skuad bimbingan Arne Slot kelihatan tenggelam berdepan asakan pasukan Serie A itu.

Jurulatih Milan, Massimiliano Allegri, melahirkan rasa puas hati terhadap perkembangan pasukannya sejak mengambil alih tugas Mei lalu.

“Paling penting, saya gembira dengan sikap proaktif pasukan dan peningkatan ketahanan fizikal selepas 20 hari bekerja bersama mereka. Leao juga menunjukkan kematangan untuk melalui musim yang hebat,” kata Allegri.

Sementara itu, Slot menyifatkan kekalahan itu sebagai sebahagian daripada proses pramusim.

“Kami bolos empat gol, sesuatu yang tidak diingini, tetapi perlu diambil kira kami kekurangan tujuh pemain utama dan memberikan peluang kepada 20 pemain beraksi.

"Beberapa pemain juga bermain di luar posisi biasa,” jelasnya.

Liverpool dijadualkan bertemu Yokohama F. Marinos di Jepun pada 30 Julai, sebelum membuka kempen Liga Perdana Inggeris menentang Bournemouth di Anfield pada 15 Ogos. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD