fb fb fb fb fb

Pertandingan boling persahabatan RTM-GSB erat Silaturahim, tingkat prestasi pemain

Foto RTM

PETALING JAYA, 27 Julai –Seramai 84 orang pemain yang mewakili 14 pasukan daripada Media RTM dan 14 pasukan daripada Giant Strike Bowlers (GSB) menyertai Pertandingan Boling Persahabatan Media RTM bersama GSB yang berlangsung di Petaling Jaya, hari ini.

Menurut Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Angkasapuri, Tarmimi Sahat, pertandingan bukan sekadar medan persaingan sukan, namun menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara warga media, jabatan kerajaan dan agensi bersama pasukan GSB.

"Pertandingan ini bertujuan membina jaringan kerjasama serta menjalin hubungan erat antara RTM dengan media-media rakan strategik serta agensi seperti KPKT, IPTAR, Polis, Kastam dan lain-lain," katanya ketika ditemui pada pertandingan tersebut.

Selain memperkukuh jaringan kerjasama, Tarmimi menjelaskan bahawa pertandingan ini juga merupakan sebahagian daripada strategi pembangunan prestasi sukan RTM, khususnya dalam menghadapi kejohanan lebih besar seperti Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Wilayah Persekutuan (MAKSWIP) dan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK).

"Kita turut menyasarkan agar RTM mendapat ‘sparring partner’ yang berkualiti dan mencabar supaya dapat meningkatkan mutu permainan pemain-pemain kita ke tahap yang lebih kompetitif," ujarnya lagi.

Tarmimi turut memaklumkan bahawa pasukan boling RTM aktif menjalankan perlawanan dalaman setiap bulan dan menyifatkan pertandingan seperti ini membuka ruang untuk mencungkil bakat-bakat baharu.

"Kami mengharapkan agar lebih ramai pemain berpotensi dapat dibentuk dan satu hari nanti dapat mewakili RTM ke peringkat tertinggi, bukan sahaja di MAKSWIP tetapi juga ke peringkat MAKSAK," katanya penuh semangat.

Beliau turut berkongsi, pencapaian terbaik pemain boling RTM apabila berjaya menempatkan diri dalam 20 terbaik keseluruhan dalam kejohanan MAKSWIP baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Giant Strike Bowlers (GSB) Ros Anita Mohd Nasir, menyifatkan penganjuran pertandingan ini sebagai satu usaha positif dalam memupuk hubungan baik antara GSB dan pihak media.

"Program sebegini bukan sahaja memberi peluang kepada pasukan kami untuk beraksi bersama pemain-pemain RTM yang berpengalaman, malah dapat memperkukuh jaringan kerjasama serta ukhuwah dengan warga media," jelasnya.

Sebanyak tiga kategori utama dipertandingkan iaitu kategori berkumpulan berdasarkan jumlah keseluruhan jatuhan pin, kategori individu lelaki dan kategori individu wanita.

TETITIA YUSOFF