KUALA LUMPUR, 30 April- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menangisi pemergian bekas Timbalan Presiden, AllahyarhamTengku Tan Sri Datuk Seri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail.
Melalui satu kenyataan, Persatuan itu menyifatkan Allahyarham meninggalkan jasa cukup besar dalam arena bola sepak tempatan dan antarabangsa.
Allahyarham pernah bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan dan Jawatankuasa Disiplin sebelum melepaskan jawatan pada 2004.
Allahyarham juga bertangunggjawab merangka pelan tindakan bola sepak semi-pro dan profesional, serta mengilhamkan projek Harimau sebagai skuad pelapis.
Tertubuhnya Akademi FAM di Kuantan serta kehadiran Kevin Keegan mewarnai skuad negara pada 1984 juga merupakan hasil usaha Allahyarham.
Di pentas Asean, Allahyarham bertangunggjawab menghidupkan semula Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) selaku Presiden dari 1996 hingga 2011.
Sumbangan beliau termasuk menjadikan Piala AFF Suzuki, yang kali pertama dipertandingkan dengan nama Piala Tiger pada 1996, sebagai satu pertandingan bersifat komersial dengan audiens meliputi seluruh dunia.
Dato’ Seri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang meninggal dunia di kediamannya malam tadi pada usia 94 tahun akibat sakit tua.