fb fb fb fb fb

Real Madrid perlu seri dengan Espanyol sebelum dinobat juara La Liga

MADRID, 30 April- Real Madrid berpeluang ditabalkan sebagai juara liga sekiranya mencatat sekurang-kurangnya keputusan seri dengan Espanyol di Santiago Bernabeu malam ini dalam La Liga.

Ketika ini Real selesa mendahului pencabar terdekat, Barcelona dengan 15 mata dan hanya memerlukan satu mata daripada baki 5 perlawanan untuk menjulang gelaran ke-35.

Ketua jurulatihnya, Carlo Ancelotti mengakui akan merehatkan beberapa tonggak utamanya pada pertemuan dengan Espanyol malam ini.

Ini kerana dia mahu memberi fokus kepada aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara dengan Manchester City selepas tewas 3-4 pada pertemuan pertama, Rabu lalu.

(FOTO AFP)

Pengendali kelahiran Itali itu juga kehilangan beberapa pemain seperti David Alaba yang mengalami kecederaan pada aksi di Etihad, manakala Nacho dan Eder Militao pula digantung perlawanan.

Keadaan penyerang bintangnya, Karim Benzema juga masih diragui selepas pemain Perancis itu mengalami kesakitan di buku lali.

Meskipun tanpa tonggak utama, Ancelotti bagaimanapun menegaskan dia akan tetap menurunkan pasukan terkuat menentang Espanyol bagi memenangi perlawanan, sekali gus menjulang gelaran La Liga musim ini. -AFP

Media Baharu