KUALA LUMPUR, 14 Disember - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyerahkan sepenuhnya keputusan berhubung isu dokumentasi tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), selepas semua proses pada peringkat FIFA diselesaikan.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, urusan FAM dengan FIFA telah berakhir, dan CAS merupakan platform terakhir bagi badan induk itu melengkapkan proses perundangan yang tersedia.
“Kita sudah habis pada peringkat FIFA dan tiada lagi perkara membabitkan FIFA. Di CAS, ini adalah proses terakhir kita dan ia merupakan badan bebas yang tidak terikat dengan FIFA. Apa juga keputusannya adalah muktamad dan perlu dipatuhi oleh semua pihak,” katanya demikian kepada pemberita selepas majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia Specialist Centre (UKMSC) dan FAM di Auditorium Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohd Yusoff turut memaklumkan hasil penuh siasatan Jawatankuasa Bebas yang ditubuhkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), berhubung isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikenakan penggantungan selama 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dijangka diketahui bulan ini.
Tambah beliau, pihaknya masih menunggu laporan jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif, sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat oleh badan induk itu.
" Kita masih menunggu lagi laporan daripada Tun Raus. saya jangkakan kita akan mendapatkan laporan ini dalam bulan ini juga.
Daripada laporan itu nanti kita akan tengok dia punya dapatan daripada Jawatankuasa yang dipengerusikan Tun Raus. Selepas itu baru kita tengok apa langkah-langkah yang akan kita ambil", katanya.
FAM sebelum ini mengesahkan badan induk itu sudah mengemukakan rayuan kepada CAS berhubung hukuman yang dikenakan FIFA membabitkan isu dokumentasi tujuh pemain warisan.
Tujuh pemain itu adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Keputusan itu diambil susulan FIFA mendedahkan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan setebal 64 muka surat susulan daripada keputusan jawatankuasa berkenaan pada 3 November lalu yang menolak rayuan daripada FAM dan tujuh pemain terbabit.
Keputusan itu menyaksikan hukuman denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan ke atas FAM oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada September lalu kekal, manakala tujuh pemain terbabit digantung 12 bulan serta dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) setiap seorang.