BANGKOK, 14 Disember -Perenang negara, Khiew Hoe Yean sekali lagi membuktikan statusnya sebagai perenang terbaik negara apabila mempertahankan pingat emas acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki pada Sukan SEA Thailand, semalam.
Beraksi di Pusat Akuatik Huamark, Hoe Yean mencatat masa 1 minit 48.64 saat untuk muncul juara.
Pingat perak menjadi milik perenang Vietnam, Van Nguyen Quoc Tran, yang menamatkan perlumbaan dengan catatan 1:48.70s.
Manakala rakan sepasukan Hoe Yean, Arvin Shaun Singh Chahal, meraih gangsa selepas merekodkan masa 1:50.43s.
Kejayaan itu menyaksikan Hoe Yean mengekalkan penguasaan dalam acara 200m gaya bebas lelaki apabila meraih pingat emas buat edisi ketiga berturut-turut selepas turut memenanginya pada Sukan SEA Hanoi 2021 dan Phnom Penh 2023.