PETALING JAYA, 5 September - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan tegas apabila memecat Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) sebagai ahli gabungan, berkuat kuasa serta-merta.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, keputusan itu dibuat selepas tempoh enam bulan yang diberikan kepada PFA bagi menyelesaikan isu berbangkit berakhir tanpa sebarang perkembangan positif.
Dengan pemecatan tersebut, PFA tidak lagi dibenarkan menyertai atau mewakili sebarang aktiviti berkaitan bola sepak di seluruh negara.
Bagaimanapun, Mohd Yusoff menjelaskan keputusan itu tidak menjejaskan penyertaan Perlis GSA FC dalam saingan separa profesional Liga A1 kerana kelab tersebut tidak bernaung di bawah PFA.
Disember lalu, FAM menggantung keahlian PFA sehingga badan induk itu melunaskan sepenuhnya tunggakan gaji serta pampasan kontrak yang dituntut bekas Pengarah Bola Sepak PFA, Matt Holland, seperti diarahkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada 4 Disember 2019.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan pintu masih terbuka untuk PFA kembali menjadi ahli gabungan FAM sekiranya semua permasalahan berjaya diselesaikan.
Mesyuarat Keempat Jawatankuasa Eksekutif FAM 2025-2029 yang dipengerusikan Mohd Yusoff di Wisma FAM, Kelana Jaya turut meluluskan beberapa pelantikan baharu. Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram, dilantik sebagai Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL) menggantikan beliau.
Selain itu, mesyuarat memutuskan penstrukturan semula jawatan pengerusi dalam beberapa Jawatankuasa Tetap. Mohd Yusoff kini mengetuai tiga portfolio baharu iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan, serta Pengerusi Jawatankuasa Darurat.
Sivasundaram pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan serta Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, manakala Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail, menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan.
Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Saaran Nadarajah, kini mengetuai Jawatankuasa Pengadil, manakala Naib Presiden Datuk Dollah Salleh bersama Exco FAM, Datuk Zainal Abidin Hassan, diberi tanggungjawab memantau Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) serta Akademi Mokhtar Dahari (AMD).