fb fb fb fb fb

Mbappe tekan keperluan masa rehat dalam jadual padat bola sepak

Kapten Perancis, Kylian Mbappe, pada sidang media menjelang aksi kelayakan Piala Dunia menentang Ukraine di Poland. Foto- AFP

WARSAW, 5 September - Kapten Perancis, Kylian Mbappe menegaskan pemain bola sepak utama tidak semestinya beraksi terlalu banyak perlawanan, sebaliknya lebih memerlukan masa rehat mencukupi dalam jadual padat yang jarang memberi ruang untuk berehat.

“Isu ini bukan hanya mengenai jumlah perlawanan, tetapi lebih kepada tempoh pemulihan. Kami hanya perlukan sedikit masa untuk tubuh kembali bertenaga selepas deretan perlawanan yang perlu dilalui,” katanya kepada wartawan di Poland menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Ukraine, Jumaat.

Mbappe beraksi dalam 59 perlawanan musim lalu bersama Real Madrid, bermula dari debut di Piala Super UEFA pada 14 Ogos sehingga tewas di separuh akhir Piala Dunia Kelab kepada Paris Saint-Germain pada 9 Julai. Dalam tempoh itu, beliau turut membuat enam penampilan bersama skuad kebangsaan.

Pemain berusia 25 tahun itu mengakui kewujudan Piala Dunia Kelab menambahkan lagi tekanan kepada jadual pemain, sambil menegaskan tiada pemain, hatta legenda sekalipun, mampu mengekalkan prestasi terbaik jika bermain lebih 60 perlawanan semusim.

“Saya pernah fikir kami bermain terlalu banyak, tetapi pandangan itu berubah. Saya faham orang ramai mungkin beranggapan pemain bergaji besar perlu bermain, tetapi isu utama adalah rehat. Perkara ini wajar diteliti kerana semua pihak akan mendapat manfaat apabila mutu perlawanan lebih berkualiti,” jelasnya.

Perancis akan menentang Ukraine sebelum menanti kunjungan Iceland di Paris pada Selasa, selain Azerbaijan dalam Kumpulan D kelayakan, dengan juara kumpulan layak automatik ke Piala Dunia.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN