KUALA LUMPUR, 17 April - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan melakukan pemantauan rapi terhadap padang di Stadium Nasional Bukti Jalil (SNBJ).
Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata kesiapsiagaan padang itu harus diteliti sebelum perlawanan membabitkan skuad Harimau Malaya menentang Taiwan bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 Jun nanti.
"Walaubagaimanapun, kita akan pantaulah dia punya kedudukan padang sebab saya difahamkan ada satu lagi konsert yang akan diadakan oleh SNBJ.
"Jadi ia memberikan kita satu tekanan sama ada kita nak gunakan atau tidak SNBJ tapi akhirnya kita akan turun padang untuk pergi tengok dan tiada kompromi. Kalau boleh guna, kita akan guna," katanya.
Beliau ditemui media selepas Majlis Pelancaran Bola Rasmi Piala Presiden, Piala Belia, Liga Wanita Nasional dan Piala Tun Sharifah Rodziah di Wisma FAM.
Saingan Piala Presiden 2024 akan bermula Ahad ini disusuli saingan Piala Belia pada 27 April.
Saingan Liga Wanita Nasional pula dijadual bermula pada 22 Jun manakala tarikh Piala Tun Sharifah Rodziah akan dimaklumkan nanti.