fb fb fb fb fb

SNBJ bakal terima rumput baharu

Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ)

KUALA LUMPUR, 17 April - Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan bekerja rapat dengan pengurusan Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos di Larkin, dalam proses penerimaan rumput hibrid bagi Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

PSM dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia susulan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bersetuju untuk mendermakan rumput berkenaan.

"Perkara itu dipersetujui selepas perjumpaan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor John," katanya.

Dalam pada itu PSM turut menyatakan kesediaan untuk terus komited bagi menguruskan sebuah padang pelbagai guna yang berdaya tahan dan fleksibel untuk acara sukan dan bukan sukan.

Sementara itu, rumput Zeon Zoysia yang didermakan oleh Tunku Ismail kepada SNBJ sebelum ini, akan dibuka dan dipasang di padang Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.

Ini merupakan kali kedua Tunku Ismail, yang juga pemilik kelab JDT membantu SNBJ selepas menghadiahkan rumput Zeon Zoysia yang ditanam awal tahun lepas, menggantikan rumput jenis Cow Grass.

GRACE AISYAH KEDAYAN