KUALA LUMPUR, 17 April - Penjaga gol hoki 5 sebelah negara, Che Shahrul Azmi Che Saufi memadam hasrat untuk bersara awal selepas mendapat panggilan ke kem latihan skuad Speedy Tigers.
Malah, peluang itu membuatnya kembali bersemangat untuk terus menabur bakti dalam skuad kebangsaan.
Pemain berusia 23 tahun itu mengakui, dirinya pernah berputus asa selepas disisih untuk mewakili pasukan negara.
"Give up itu memang ada tetapi saya tahu mana standard saya, jadi saya cuba untuk bangkit dalam perlawanan yang mendatang.
"Insya Allah saya akan cuba yang terbaik untuk mendapatkan dalam team Speedy Tigers," katanya.
Che Shahrul Azmi juga sebelum ini membantu Malaysia meraih pingat perak di Piala Dunia Hoki 5 Sebelah di Oman awal tahun ini,
Prestasi konsisten turut dipamerkan pemain ini dalam saingan Liga Hoki Malaysia 2024 untuk membantu pasukannya, Nurinsafi menamatkan saingan di tempat keempat.
Kerja kerasnya itu berjaya menambat hati pengendali, Sarjit Singh untuk memanggilnya menyertai kem latihan Speedy Tigers bulan lepas.