(Foto Facebook FAM)
KUALA LUMPUR, 6 Januari- Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Dalam pertemuan hampir sejam itu, Hamidin turut berkongsi agenda terkini berhubung hala tuju industri bola sepak negara terutama persiapan skuad Harimau Malaya berdepan aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022, menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
Dalam kunjungan sulung terhadap Perdana Menteri itu, Hamidin turut memaklumkan tentang persiapan skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan Gon untuk menghadapi Piala Asia pada Januari 2024, setelah layak secara merit pada Jun lalu selepas tempoh 43 tahun.
(Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melakukan kunjungan hormat kepada
Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabatnya di Putrajaya/FB FAM)
“Pertemuan ini amat bermakna bagi kami dalam merencana hala tuju masa depan bola sepak negara terutama menjelang perlawanan penting Harimau Malaya esok.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana memberi saya ruang berkongsi visi dan misi FAM, Peta Hala Tuju FAM (F:30) serta perkembangan pembinaan ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan di Putrajaya,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook FAM hari ini.
Hamidin yang diiringi Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman turut memaklumkan kepada Anwar berkenaan perkembangan terkini bola sepak wanita, futsal, bola sepak pantai dan pembangunan pengadil.
Beliau turut berbesar hati kerana Perdana Menteri yang pernah menyandang jawatan Menteri Kebudayaan, belia dan Sukan pada 1983, menyuarakan sokongan padu buat bola sepak negara.- BERNAMA