BARCELONA, 6 Januari- Barcelona menyasarkan kemenangan berdepan Atletico Madrid dalam usaha merebut takhta juara La Liga untuk edisi 2022/23, pada awal pagi Isnin depan.
Namun, bekas pemainnya, Antoine Griezmann dilihat bakal menyukarkan perjalanan skuad The Catalan itu.
Pasukan Catalan menandatangani penyerang Perancis itu dari Atletico pada musim panas 2019 dengan harga 120 juta euro ($126.3 juta) dan meminjamkannya semula pada 2021, menjadikan perjanjian itu kekal pada Oktober 2022.
Kegagalan Barca membawa pulang tiga mata penuh ketika menentang Espanyol, menyaksikan Barca dan Real Madrid kini berkongsi mata iaitu 38, namun jumlah jaringan berpihak kepada Barca.
Kali terakhir pasukan Catalan itu memenangi liga sebelum Griezmann tiba pada 2019, menamatkan rentetan empat kejuaraan liga dalam tempoh lima tahun tetapi sejak itu Barca bergelut untuk meraih trofi.
(Legenda Barcelona yang kini pengendali skuad The Catalan, Xavi Hernandez
optimis cipta kemenangan berdepan Atletico Madrid/AFP)
Menurut Presiden, Joan Laporta, pihaknya telah berbelanja besar dari segi kewangan pada musim panas lalu dengan membawa masuk Robert Lewandowski dari Bayern Munich, tetapi tersingkir dalam saingan kumpulan Liga Juara-Juara.
Menurut pemain sayap, Ousmane Dembele, Griezmann perlu dikawal ketat selain menafikan hantaran tepatnya ke kotak penalti.
"Saya rasa kita perlu menutupnya kerana dia sangat berbahaya, dia mempunyai kemahiran hantaran yang sangat baik dan dia dalam prestasi yang sangat baik," kata Dembele kepada Eleven Sports pada Khamis.
Atletico yang dikendalikan Diego Simeone turut mengharungi musim sukar, namun optimis untuk mengekalkan perjuangan berada pada kedudukan empat teratas liga.
Atletico Madrid pernah menjulang trofi La Liga pada edisi 2020/21, dengan 86 mata terkumpul.-AFP