fb fb fb fb fb

City menang tipis dengan Chelsea, kejar Arsenal di puncak liga

FOTO AFP

LONDON, 6 Januari- Manchester City mula mengorak langkah menghampiri pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal selepas berjaya menang 1-0 berdepan Chelsea, awal pagi tadi.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan City mengutip tiga mata, menjadikan jurang berbaki lima mata untuk mengejar The Gunners.

Aksi separuh masa pertama menunjukkan perlawanan seimbang, diwarnai percubaan kedua-dua pasukan, namun keputusan kekal seri 0-0 hingga minit ke-45.

Bagaimanapun, masuk babak kedua, gabungan pemain gantian The Citizens, Jack Grealish dan Riyad Mahrez mencetak gol penting buat pasukan.

Hantaran lintang Grealish disempurnakan Mahrez pada minit ke-63 untuk menghukum anak buah kendalian Graham Potter.

Menurut pengendali City, Pep Guardiola akui gembira dengan prestasi anak buahnya apabila masuk babak kedua.

"Kami banyak bergelut pada separuh masa pertama, mudah ditembusi dan tiada rentak. Tapi, lain pula apabila masuk babak kedua, ia jauh lebih baik.

Tiga mata itu amat penting. Pemain tahu itu, kemenangan itu beri kami peluang untuk masa berada di puncak. Kami akan terus mencuba, kami mempunyai Piala FA dan Piala Carabao (Liga)," kata Guardiola kepada Sky Sports.

Ketiadaan pemain senior, Mason Mount dan Reece James nyata memberi kesan selain penyerang, Raheem Sterling mengalami kecederaan pada minit awal permainan, mengganggu strategi Potter.

Manchester City dan Chelsea akan kembali bertemu untuk saingan Piala FA pada 9 Januari ini. AFP



(Pengendali Chelsea, Graham Potter akui kehebatan Manchester City/AFP)

 

Media Baharu