(FOTO FB FAM)
PETALING JAYA, 6 Januari - Dua tonggak pertahanan negara, Dominic Tan dan Quentin Cheng tidak rela melihat skuad 'Gajah Perang' Thailand merobek gawang skuad Harimau Malaya di halaman sendiri menjelang aksi separuh akhir bola sepak Piala AFF 2022.
Justeru, kedua-dua pertahanan muda itu tekad memberikan segalanya terutama mengekang penjaring terbanyak ketika ini, Teerasil Dangda daripada terus mencetak jaringan.
Dominic dan Quentin juga yakin, beraksi di hadapan lebih 50,000 penyokong sendiri bakal menjadi pembakar semangat berharga berdepan Thailand.
"Kami sentiasa yakin menentang mana-mana pasukan dalam kejohanan ini, jurulatih memberi kami satu pelan permainan dan taktik untuk dilaksanakan dalam setiap perlawanan, kami cuma perlu mencuba yang terbaik untuk mengikut apa yang perlu dilakukan. Jika kami melakukan apa yang kami mampu, saya rasa kami boleh menewaskan sesiapa saja," kata Quentin.
(Dominic Tan (dua, kanan) dan Quentin Cheng (dua, kiri) ketika sesi latihan menjelang
aksi separuh akhir bola sepak Piala AFF 2022 menentang Thailand/Foto FB FAM)
"Pastinya ia bukan perlawanan yang mudah, semua nak menang dan layak ke final tetapi kita kena buat yang terbaik. Sudah tentu penting juga untuk kita bawa momentum baik bertemu Singapura (ke perlawanan menentang Thailand)," kata Dominic.
Skuad kebangsaan bakal berdepan Thailand dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Manakala pertembungan separuh akhir kedua akan berlangsung di Stadium Thammasat, Bangkok, Thailand.