KUALA LUMPUR, 21 Oktober- Enam pengadil muda bola sepak negara akan berguru di Dammam, Arab Saudi bermula esok, 22 hingga 27 Oktober ini.
Menerusi kenyataan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, kesemua mereka terdiri daripada empat pengadil iaitu, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah, Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman, Mohamad Kamil Zakaria Ismail, Muhammad Munir Mohd Izam serta dua penolong pengadil, Kesava Raj S Neelamagan dan Mohd Shafiq Ahmad Said.
Beliau berkata, enam pengadil tersebut turut akan menjalani kursus tambahan VAR dan latihan praktikal di Arab Saudi.
“Semoga ilmu yang diperoleh di Arab Saudi ini dapat memberi manfaat dalam tugasan mereka terutama dalam memartabatkan lagi mutu pengadilan bola sepak negara,” kata Datuk Hamidin.
Jelas Datuk Hamidin, enam pengadil yang bakal ke Arab Saudi itu dipilih berdasarkan faktor prestasi yang baik dalam Liga Malaysia serta menunjukkan komitmen yang baik sepanjang latihan VAR di Malaysia sekaligus dilihat berpotensi melebarkan sayap ke persada lebih tinggi.
"Dengan usaha ini diharap lebih ramai mengikut jejak langkah pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin dan dua pembantunya, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid yang akan ke Piala Asia 2023, di Qatar, Januari depan,"katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM merangkap Timbalan Presiden FAM, Datuk S.Sivasundaram turut menyokong usaha tersbeut dengan menyatakan FAM akan terus memastikan lebih ramai pengadil muda diberi latihan dan pendedahan di peringkat antarabangsa.
FAM juga ketika ini sedang rancak menjalankan latihan VAR bagi 40 pengadil sebagai persediaan menghadapi Liga Malaysia 2024/2025.