fb fb fb fb fb

Euro 2024: Scotland masih ada 'sinar' ke pusingan kalah mati

Foto AFP

COLOGNE, 20 Jun- Switzerland mencatatkan keputusan seri 1-1, dengan Scotland dalam aksi Kumpulan A Kejohanan Euro 2024, awal pagi tadi.

Switzerland kini berada dalam kedudukan baik untuk menempah slot ke pusingan 16 terakhir di Euro 2024 apabila berjaya mengutip satu lagi mata selepas seri satu sama dengan Scotland.

Jaringan menakjubkan bekas pemain Liverpool, Xherdan Shaqiri membolehkan keputusan seri itu diperoleh.

Pasukan kendalian Murat Yakin itu, bagaimanapun ketinggalan dengan gol awal, Scott McTominay pada minit ke-13.

Bagaimanapun, Shaqiri berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-26.

Switzerland kini menduduki tempat kedua dalam dengan empat mata, dua mata di belakang Jerman yang sudah layak ke pusingan seterusnya.

Dengan empat pasukan terbaik tempat ketiga layak ke pusingan 16 terakhir, Scotland kekal dalam pemburuan untuk mara ke pusingan kalah mati kejohanan itu buat kali pertama.

Terdahulu, dalam satu lagi perlawanan, pasukan Albania berjaya mengikat Croatia seri 2-2.

Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan perlu mengharapkan aksi terakhir kumpulan untuk mara ke peringkat 16 terakhir.

Albania mendahului pada minit ke-11 hasil tandukan Qazim Laci dan kedudukan kekal 1-0 pada babak pertama.

Babak kedua, Croatia diketuai kapten, Luka Modric menyamakan kedudukan pada minit ke-74 melalui jaringan Andrej Kramaric.

Gol sendiri pemain Albania, Klaus Gjasula kemudian meletakkan pasukan Croatia mendahului permainanan pada minit ke-76.

Gjasula bagaimanapun menjadi penyelamat pasukannya apabila menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

Kedua-dua pasukan mengumpul satu mata selepas dua perlawanan dalam Kumpulan B, dengan Croatia seterusnya menentang Itali manakala Albania berdepan Sepanyol.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM