STUTTGART, 20 Jun- Pasukan tuan rumah Euro 2024, Jerman menjadi pasukan pertama layak ke pusingan 16 terakhir selepas menewaskan Hungary 2-0, di MHP Arena, di sini, awal pagi tadi.
Gol disumbangkan Jamal Musiala dan Ilkay Gundogan dalam perlawanan tersebut, yang dibimbing Julian Nagelsmann.
"Kami mahu menjadi yang pertama dalam kumpulan kami. Itu penting kerana kami mahu memenangi setiap perlawanan," kata jurulatih Jerman itu.
Gol pertama Jerman muncul pada minit ke-22, hasil jaringan kontroversi yang dibantah Hungary selepas Gundogan dikatakan mengasari pertahanannya, Will Orban.
Bagaimanapun, jaringan itu disahkan video bantuan pengadil (VAR).
"Ia adalah sesuatu yang cukup menakjubkan, untuk memulakan kejohanan seperti ini,” tambah Gundogan.
Hungary kemudian menjaringkan gol penyamaan menerusi Roland Sallai, namun dibatalkan susulan ofsaid.
Masuk babak kedua, Jerman terus menggandakan asakan memburu gol kedua pasukan.
Jaringan kemenangan itu hadir pada minit ke-67 menerusi pemain muda berusia 21 tahun, Jamal Musiala, menewaskan penjaga gol Hungary, Peter Gulacsi.
Kekalahan tersebut memberi tamparan buat Hungary yang perlu menewaskan Scotland bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan seterusnya.
“Dalam perspektif saya, Jerman pasti menang, tetapi pengadil adalah yang paling teruk di atas padang,” keluh jurulatih Hungary, Marco Rossi.- AFP