fb fb fb fb fb

EPL: West Ham pecat Graham Potter

Bekas ketua jurulatih Graham Potter jadi pengurus kedua dipecat kelab EPL musim ini / Foto REUTERS

LONDON, 27 September - Kelab Liga Perdana Inggeris, West Ham United mengesahkan pemecatan serta-merta Graham Potter sebagai ketua jurulatih kelab tersebut susulan prestasi hambar pasukan berkenaan.

Pengurusan kelab dalam satu kenyataan memaklumkan Graham Potter telah meninggalkan kelab bersama keseluruhan barisan kejurulatihannya berkuat kuasa serta-merta.

Kelab itu menjelaskan keputusan dibuat selepas prestasi dan keputusan sepanjang separuh kedua musim lalu serta permulaan musim 2025/26 tidak memenuhi jangkaan.

"Lembaga pengarah kelab percaya perubahan perlu dilakukan bagi memperbaiki kedudukan pasukan dalam Liga Perdana Inggeris secepat mungkin", jelas kenyataan berkenaan.

“Lembaga ingin mengucapkan terima kasih kepada Graham dan staf kejurulatihannya atas kerja keras mereka sepanjang bersama The Hammers dan mendoakan kejayaan pada masa hadapan.

“Proses pelantikan pengganti sedang berjalan. Kelab tidak akan mengulas lanjut pada masa ini", tambah kenyataan tersebut.

Potter dilantik pada Januari lalu bagi menggantikan Julen Lopetegui yang gagal membawa kestabilan, namun bekas pengendali Brighton dan Chelsea itu tetap tidak mampu mengubah nasib kelab timur London tersebut.

Sepanjang 25 perlawanan, Potter hanya menang enam dan tewas 14 kali.

Musim ini, West Ham hanya menang sekali daripada lima aksi liga, selain tersingkir daripada saingan Piala Carabao selepas ditewaskan Wolves, pasukan yang juga bergelut di zon bawah liga.

Potter merupakan pengurus kedua dalam saingan Liga Perdana Inggeris yang dipecat selepas Nuno Espírito Santo meninggalkan Nottingham Forest awal bulan ini. - REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD