KUALA LUMPUR, 22 April- Hanya empat kelab Liga Super berjaya memperoleh Lesen Pelesenan Kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi kitaran 2024–2025.
Pengerusi Jawatankuasa First Instance Body (FIB) Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif memaklumkan empat kelab yang berjaya adalah Johor Darul Ta'zim FC (JDT), Selangor FC, Sabah FC dan Penang FC.
Keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat FIB kali ke-10 yang berlangsung di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya.
“Sebanyak enam kelab telah mengemukakan permohonan lesen AFC bagi kitaran 2024–2025 iaitu JDT, Selangor, Sabah, Penang, Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC. Namun, hanya empat yang lulus penilaian dan berjaya memperoleh lesen,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Malaysian Football League (MFL).
Dua pasukan lain; Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC, gagal dalam permohonan mereka.
Sheikh Mohd Nasir turut menyatakan harapan agar lebih banyak kelab Liga Super tampil memohon lesen AFC pada masa akan datang bagi memastikan struktur liga tempatan terus kukuh dan saingan kekal kompetitif serta bertaraf antarabangsa.
Lesen kelab AFC merupakan syarat penting bagi penyertaan dalam kejohanan di peringkat Asia dan merangkumi pelbagai aspek termasuk pengurusan, kewangan, infrastruktur, teknikal serta pembangunan belia.