KUALA LUMPUR, 22 April- Hampir 42,000 slot bagi acara larian jarak jauh terulung negara, Maraton Standard Chartered Kuala Lumpur (KLSCM) 2025, yang dijadual berlangsung pada 4 dan 5 Okt ini, habis ditempah sepenuhnya selepas pendaftaran awam dibuka selama kurang empat jam, hari ini.
Pengarah Projek KLSCM Rainer Biemans berkata pihaknya amat terharu dengan sambutan luar biasa daripada komuniti pelari serta menghargai semangat dan sokongan mereka terhadap acara yang dianjurkan oleh Dirigo Events itu.
“KLSCM sentiasa menjadi platform untuk pelari dari pelbagai peringkat meningkatkan prestasi masing-masing. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada semua peserta dalam perlumbaan tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Dirigo Events dalam kenyataan sama memaklumkan mereka yang terlepas peluang mendaftar dinasihatkan untuk mengikuti promosi dan tawaran penyertaan yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Sebelum ini, tempoh pendaftaran keutamaan dibuka dari 17 hingga 21 April lalu kepada pelari yang pernah menyertai sekurang-kurangnya lapan edisi sebelum ini serta pelari pantas yang mencapai masa kelayakan ditetapkan pada edisi 2023 atau 2024.
KLSCM 2025 akan menampilkan lima kategori utama iaitu maraton, separuh maraton, 10 kilometer (km), 5 km dan larian kanak-kanak (800 meter dan 2 km).
Yuran penyertaan bagi peserta tempatan ialah RM139 (maraton); RM124 (separuh maraton); RM104 (10 km); RM94 (5 km); dan RM54 bagi kategori kanak-kanak.
Bagi peserta bukan warganegara, yuran ditetapkan pada kadar USD90 (maraton); USD75 (separuh maraton); USD60 (10 km); USD50 (5 km) dan USD20 bagi larian kanak-kanak.
Perlumbaan maraton akan bermula dari kawasan pusat bandar raya Kuala Lumpur (lokasi tepat belum diumumkan) dan berakhir di lokasi bersejarah, Stadium Merdeka.- BERNAMA