LONDON, 15 Ogos - Pengurus baharu Tottenham Hotspur, Thomas Frank, menggesa penyokong kelab itu memberikan sokongan padu kepada Mathys Tel dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Burnley, esok, selepas penyerang muda Perancis itu menjadi mangsa hinaan perkauman di media sosial.
Tel, 20, menerima ejekan berbaur perkauman susulan kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti ketika Spurs tewas kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam penentuan penalti pada aksi Piala Super UEFA, Rabu lalu.
Kelab Tottenham menyatakan mereka “jijik” dengan perbuatan itu, manakala rakan sepasukan Tel, Dominic Solanke dan Richarlison, turut menyuarakan sokongan menerusi media sosial.
Badan antidiskriminasi 'Kick It Out' pula memberi amaran bahawa kejadian seperti itu boleh menyebabkan pemain berfikir banyak kali sebelum mengambil sepakan penalti pada masa hadapan.
“Ia sememangnya perkara yang teruk berlaku kepada Matty dan kami sedang melakukan segala yang boleh untuk menyokongnya dalam situasi ini,” kata Frank pada sidang media, Jumaat.
“Dia seorang yang kuat dan dengan sokongan keluarga, rakan serta kami, dia akan mengharunginya. Tiada penyokong sejati Tottenham yang akan melakukan perkara seperti itu.
“Penyokong sebenar yang akan kita lihat di stadium esok pasti akan menyokongnya, itu yang saya jangka.
"Dalam waktu sukar, kita bangkit bersama. Saya mahu penyokong memberikan dia sorakan yang sangat, sangat besar esok,” tegasnya.
Tel akan tersenarai dalam skuad perlawanan bersama Yves Bissouma, yang digugurkan daripada aksi Piala Super selepas beberapa kali lewat menghadiri latihan pramusim.
“Ada situasi yang berlaku, saya tangani dan ada akibatnya. Bissouma akan kembali ke skuad esok. Kita bergerak ke hadapan, dan kita ada perlawanan besar,” kata Frank.
Bissouma kini memasuki tahun terakhir kontraknya dan masa depannya bersama Spurs masih tidak pasti, sementara kelab itu terus aktif dalam pasaran perpindahan.
Antara yang dikaitkan ialah pemain Crystal Palace, Eberechi Eze, dan penyerang Manchester City, Savinho, namun Frank enggan mengulas lanjut.
“Dalam banyak hal, saya gembira dengan skuad sedia ada. Sudah tentu kami mahu pasukan yang kuat dan kompetitif. Saya tahu Daniel (Levy), Johan (Lange) dan Vinai (Venkatesham) bekerja siang malam,” katanya.
Aksi menentang Burnley esok bakal menjadi penampilan pertama Frank di laman sendiri selepas menggantikan Ange Postecoglou yang dipecat pada akhir musim lalu.
Frank kini berada dalam keadaan terdesak untuk memperbaiki kedudukan Spurs yang hanya menamatkan saingan di tempat ke-17 musim lalu, walaupun menjuarai Liga Europa menewaskan Manchester United.
“Saya tahu bila saya bangun esok dan melangkah ke stadium, saya akan rasa sedikit berdebar, itu pasti. Ia kali pertama, jadi ia akan jadi detik istimewa,” ujarnya. - AFP.