fb fb fb fb fb

Colwill berehat panjang, Maresca mahu pertahanan tengah baharu

Pengurus Chelsea, Enzo Maresca/Foto REUTERS

LONDON, 15 Ogos - Chelsea berdepan tamparan menjelang aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Crystal Palace Ahad ini selepas pemain pertahanan tengah, Levi Colwill, mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).

Pengurus pasukan, Enzo Maresca, mengesahkan pemain antarabangsa England berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan ketika sesi latihan dan telah menjalani pembedahan.

“Dia okay tetapi sedar bahawa dia perlu berehat lama,” kata Maresca pada sidang media, Jumaat.

“Ia satu kehilangan besar buat kami. Levi sangat penting musim lalu. Kami mampu mencipta peluang dan menyerang dengan baik jika dapat membina serangan dari bawah dengan betul, dan Levi adalah sebahagian daripada itu.

“Kami cuba mencari penyelesaian dalaman, tetapi kelab tahu dengan jelas apa yang saya fikirkan.

"Kita akan lihat apa yang berlaku. Saya rasa kami perlukan seorang pertahanan tengah, namun pada masa sama mencari solusi dalam pasukan,” tambahnya.

Kecederaan ACL kebiasaannya memerlukan tempoh pemulihan antara enam hingga sembilan bulan sebelum pemain kembali beraksi.

Chelsea mahu meneruskan momentum selepas menamatkan musim lalu di tempat keempat Liga Perdana, menjuarai Liga Konferens Eropah menewaskan Real Betis, serta menjulang Piala Dunia Kelab dengan mengatasi juara Eropah, Paris Saint-Germain, Julai lalu.

Dengan jendela perpindahan ditutup pada 1 September, Maresca tidak menolak kemungkinan membawa masuk pemain baharu.

Setakat ini, Chelsea sudah mengikat beberapa muka baharu termasuk Joao Pedro, Jamie Gittens, Jorrel Hato, Liam Delap dan Estevao Willian.

Dalam pada itu, Maresca turut mengingatkan anak buahnya agar berwaspada dengan Palace yang mengejutkan Manchester City untuk memenangi Piala FA pada Mei lalu serta menundukkan juara bertahan Liga Perdana, Liverpool, dalam Perisai Komuniti awal bulan ini. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD