fb fb fb fb fb

Setiap kejuaraan adalah penting- Kompany

Pengurus Bayern Munich, Vincent Kompany / Foto REUTERS

MUNICH, 15 Ogos – Setiap kejuaraan amat bermakna buat Bayern Munich, tegas ketua jurulatihnya Vincent Kompany menjelang aksi Piala Super Jerman menentang VfB Stuttgart, esok.

“Tiada keraguan dalam fikiran kami bahawa ini adalah perlawanan penting buat kami,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Bayern akan berdepan Stuttgart dalam perlawanan akhir Piala Super Jerman sebelum memulakan misi mempertahankan kejuaraan Bundesliga menentang RB Leipzig di laman sendiri, enam hari kemudian.

Kompany turut mengulas mengenai perpindahan hampir pasti melibatkan pemain sayap Kingsley Coman ke kelab Arab Saudi, Al-Nassr, yang kini di peringkat rundingan akhir.

“Saya rasa King sudah menunjukkan kualiti sebagai pemain sepanjang kariernya di Bayern. Apabila seorang pemain yang begitu berjaya meninggalkan kelab, ia sentiasa sedikit emosional,” katanya.

Pemain berusia 29 tahun itu, finalis Piala Dunia 2022 bersama Perancis, telah bersama Bayern selama sedekad dan memenangi pelbagai kejuaraan domestik serta antarabangsa termasuk Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab.

“Bagi saya sekarang, yang penting adalah kita melihat ke hadapan, memberi penghormatan kepada Kingsley Coman atas segala sumbangannya kepada kelab ini, namun fokus saya tetap pada pemain yang ada sekarang,” jelas Kompany.

Sementara itu, status pemain antarabangsa Jerman, Nick Woltemade, 23, tidak berubah selepas Stuttgart menolak bidaan terbaru Bayern untuk mendapatkan penyerang berbakat itu, walaupun pemain berkenaan menyatakan hasrat mahu menyertai juara Jerman tersebut.

“Banyak khabar angin berlegar... mengenai tarikh akhir, pelbagai jangkaan, angka. Kelab tidak pernah memberi sebarang komen tentang perkara ini,” kata pengarah sukan Bayern, Christoph Freund.

“Tiada perkembangan baharu. Kami akan menentang VfB Stuttgart esok, di mana pemain itu masih terikat kontrak, dan saya rasa wajar untuk tidak menghidupkan semula perbincangan ini sehari sebelum perlawanan,” tambahnya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD