KUALA LUMPUR, 30 November - Edisi sulung MCFA Unity Cup 2025 menutup tirai dengan kejayaan yang membanggakan selepas menghimpunkan 16 pasukan dari seluruh negara sepanjang tiga hari penganjuran yang berlangsung sejak 28 November lalu.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia (MCFA), Datuk Ng Chong Boon berkata penganjuran pertama itu melepasi jangkaan, terutama dari segi komitmen, semangat kesukanan dan penyertaan pasukan.
Menurut beliau, kehadiran pasukan dari Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Melaka dan Sarawak membuktikan sokongan yang kuat terhadap inisiatif MCFA.
“Kita memang rasa bangga lah. Ini kali pertama kita buat Unity Cup dan sambutan sangat baik. Mereka datang dari jauh, tinggal di sini tiga hari, dan mereka bekerja kuat. Kita nampak 'unity' dan usaha yang sangat tinggi,” katanya.
Datuk Ng turut menegaskan komitmen MCFA untuk memastikan kejohanan itu diteruskan secara konsisten bagi pembangunan bola sepak dalam komuniti Cina.
“Jawatankuasa telah membuat keputusan Unity Cup ini akan disambung selama 10 tahun atau 20 tahun. Saya sendiri berjanji untuk menaja sebanyak RM1 juta, tiap-tiap tahun RM50,000 untuk kejohanan ini,” katanya.
Beliau berkata Unity Cup juga merupakan platform penting dalam menggalakkan semula penyertaan belia Cina dalam bola sepak yang dilihat semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kita pun tahu kaum Cina suka badminton, tapi sebagai MCFA, kita akan bekerja keras untuk tanamkan minat bola sepak kepada kaum Cina, terutamanya anak muda,” katanya.
Datuk Ng menyifatkannya sebagai kejohanan yang menguji daya tahan fizikal setiap pemain.
Final edisi sulung ini menyaksikan pasukan ESPALITIS FC dari Selangor muncul juara, selepas menewaskan HUAREN FC dari Kuala Lumpur melalui penentuan penalti 5-4, selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 hingga masa penuh.
Kejohanan itu turut menarik perhatian jurulatih bertauliah futsal AFC, Chiew Chun Yong yang hadir menonton perlawanan sejak semalam untuk menilai bakat pemain muda.
“Saya terkejut tengok ramai pemain muda menyertai kejohanan ini. Ini satu inisiatif yang sangat bagus oleh MCFA untuk beri platform dan peluang kepada pemain Cina,” katanya.
Beliau turut mengakui beberapa pemain berjaya menonjol sepanjang kejohanan.
“Ada beberapa pemain yang berbakat. Mereka perlukan lebih pendedahan, tapi saya percaya kalau kita beri platform, memang akan ada banyak pemain pelapis,” katanya.
Chiew turut menyambut baik pertambahan penyertaan pasukan tahun ini, dan berharap MCFA dapat meneruskan usaha itu dengan penganjuran lebih besar pada masa akan datang.
“Saya teruja dapat melihat ramai pemain muda yang berbangsa Cina. Kebanyakan mereka dapat beraksi dengan baik. Saya harap MCFA boleh menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan dan mungkin tambah format lain seperti 7 sebelah atau 9 sebelah,” katanya.
Dengan sambutan positif edisi pertama itu, MCFA optimis bahawa Unity Cup akan menjadi salah satu kejohanan penting dalam mencungkil bakat dan merancakkan penglibatan komuniti Cina dalam bola sepak tanah air.