MADURAI, 30 November - Pasukan hoki remaja Belanda mempamerkan prestasi yang mengagumkan apabila mencatat kemenangan 6-0 ke atas Malaysia dalam perlawanan Kumpulan E Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2025.
Penyerang Belanda, Casper van der Veen, memulakan pesta gol dengan dua gol padang pada minit ke-9 dan ke-10.
Momentum terus memihak kepada pasukan ranking kelima dunia itu apabila Joppe Wolbert menyumbang dua gol berturut-turut pada minit ke-20 melalui pukulan sudut penalti dan minit ke-21 melalui pukulan penalti.
Thies Bakker menambah gol kelima pada minit ke-28, menjadikan kedudukan 5-0 sebelum separuh masa.
Pada babak kedua, meskipun Malaysia berusaha memperkemaskan benteng pertahanan, Belanda masih berjaya menambah satu lagi gol melalui Tjeerd Boermans pada minit ke-42, memuktamadkan kemenangan 6-0.
Kemenangan ini meletakkan Belanda di kedudukan yang kukuh dalam Kumpulan E.
Manakala skuad negara turun ke tangga ketiga kumpulan.