KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Dua penjaga gol kebangsaan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Suhaimi Husin, dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya bagi menghadapi perlawanan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos, Khamis ini.
Menerusi hantaran di Facebook Malaysia NT, kedua-dua pemain itu dipanggil bagi menggantikan Muhammad Azri Abdul Ghani dan Muhammad Haziq Nadzli yang terpaksa menarik diri daripada kem latihan pusat atas faktor kesihatan.
Jumaat lalu, Ketua Jurulatih Kebangsaan, Peter Cklamovski, telah menyenaraikan 29 pemain ke kem latihan pusat termasuk tiga muka baharu – Declan Lambert, Jordan Mintah dan Muhammad Ramadhan Saifullah.
Skuad kebangsaan dijadualkan berlepas ke Vientiane hari ini, sebelum berdepan Laos di Stadium New Laos National pada Khamis.
Harimau Malaya kemudian akan meneruskan kem latihan pusat dari 10 hingga 13 Oktober sebagai persediaan menghadapi aksi timbal balik menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan.
Malaysia kini berada di landasan tepat untuk layak ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut, dengan mendahului Kumpulan F berbekalkan enam mata.
Vietnam di tempat kedua dengan tiga mata, berkongsi kedudukan dengan Laos, manakala Nepal berada di tangga tercorot tanpa sebarang mata.